Penyusuan Susu Ibu Secara Eksklusif

Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud,  bayi  hanya diberi susu ibu dalam masa 6 bulan pertama selepas kelahirannya. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut. Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi  berumur 6 bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
            Untuk membolehkan penyusuan secara eksklusif selama 6 bulan  dicapai, WHO (World Health Organization)  dan UNICEF (The United Nations Children’s Fund) menyarankan perkara-perkara yang berikut :
i)     Penyusuan susu ibu perlu dimulakan dalam masa setengah jam pertama selepas kelahiran bayi.
ii)    Penyusuan eksklusif iaitu bayi hanya diberi susu ibu tanpa sebarang makan atau minuman walaupun air
        masak.
iii)   Menyusu mengikut kehendak bayi iaitu kekerapan menyusu adalah bergantung kepada permintaan bayi.
iv)   Tiada penggunaan botol atau puting tiruan diperkenalkan kepada bayi dalam tempoh tersebut.
v)   Semua jenis cecair tidak digalakkan diberikan kepada bayi kecuali ubat-ubatan atau rawatan yang diperlukan
       oleh bayi tersebut
 
Ketinggian nilai khasiat susu ibu                                                   
         Setiap makhluk tuhan yang bergelar mamalia dikurniakan susu untuk membesarkan bayi masing-masing, mengikut keperluan perkembangannya. Gajah, kucing, lembu, kuda dan binatang lain menghasilkan susu yang sesuai untuk keperluan bayi mereka yang perlu berjalan sejurus selepas dilahirkan.  Oleh itu,susu mereka mengandungi kandungan mineral yang tinggi untuk pertumbuhan tulang yang kuat. Kandungan protein, lemak, karbohidrat, mineral dan air adalah unik  bagi setiap mamalia
Manakala susu ibu pula bersesuaian untuk bayi  yang memerlukan perkembangan otak yang optima. Bayi yang dilahirkan sebagai insan yang tidak berdaya, memerlukan perhatian rapi ibunya untuk jangka masa yang panjang  sebelum dia dapat berjalan. Susu ibu berubah mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Kandungan susu ibu tidak akan dapat  ditiru sepenuhnya oleh kecanggihan teknologi moden dalam makmal atau kilang.
Penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu. Kesan baik ini bukan hanya dirasai ketika bayi  masih kecil, namun ianya berkekalan di sepanjang hayatnya. Kebaikan ini meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi,  dan juga pembentukan peribadi seorang anak.  Ini bertepatan dengan
kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu memberikan faedah yang banyak kepada ibu dan bayi sama ada dari segi fizikal mahupun psikologi. Penyusuan juga merupakan langkah yang praktikal bagi keluarga, kerajaan dan masyarakat untuk menjimatkan wang.                                                                                                                                                                                           Susu Ibu melindungi bayi
Setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini  tidak berupaya melindungi dirinya daripada sebarang penyakit. Sistem pertahanan bayi yang masih belum matang tidak mampu untuk melawan penyakit .  Susu ibu mengandungi beberapa faktor anti infeksi (melawan jangkitan)  yang akan membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman, antaranya termasuklah yang berikut:
  •            Laktoferin yang akan bergabung dengan zat besi (iron)  untuk  mencegah perebakan bakteria usus
  •            Immunoglobulin (IgA) dan sel darah putih  yang bertindak melawan kuman dalam badan.     Kandungannya tinggi di dalam kolostrum.  Kolostrum merupakan vaksin pertama yang perlu diberikan kepada bayi untuk melawan bakteria dan virus. 
  •            Protein, vitamin A dan E yang berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata.
  •           ‘Bile salt stimulated lipase’ yang berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan ameba
  •           Faktor bifidus yang berfungsi untuk membantu bakteria khas iaitu lactobaccilus untuk membiak di dalam usus bayi. Dengan adanya bakteria baik ini, bakteria tidak baik (patogenik) akan dihapuskan dan hal  ini dapat menghindarkan bayi daripada mendapat penyakit. 
  •           Limfosit-limfosit dan makrofaj yang membantu melawan kuman yang masuk ke dalam badan bayi
  •           Agen anti keradangan yang melindungi bayi daripada mendapat kesan keradangan yang teruk.
  •           Antibodi ibu boleh diberi kepada bayi  melalui penyusuan susu ibu. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat mendapati, bayi yang menyusu dengan susu ibu akan menerima antibodi daripada ibunya yang akan melindungi bayi daripada jangkitan kuman.
  •           Faktor pembesaran. Selenium, karotenoid asli dan nukleotida boleh membantu perkembangan dan kematangan sistem imun bayi. Kematangan sistem imun penting supaya badan bayi  berupaya untuk melawan penyakit yang menjangkitinya.
 
Selain melindungi daripada jangkitan kuman, penyusuan susu ibu secara eksklusif, boleh mengurangkan risiko penyakit alahan seperti lelah (asma)  dan ekzema. Risiko penyakit kencing manis semasa remaja dan kegemukan juga akan berkurangan pada bayi yang diberi susu ibu. Selain itu bahan laktosa yang terdapat dalam susu ibu boleh membantu mencegah penyakit riket, iaitu dengan meningkatkan penyerapan kalsium dan merangsang perkembangan otak bayi.
Bayi yang menghisap susu ibunya jarang mengalami  gejala seperti cirit birit, jangkitan salur usus dan jangkitan salur pernafasan berbanding dengan bayi yang diberi susu formula. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Pencegahan Malnutrisi Kanak-Kanak di Brazil, menunjukkan penyusuan susu ibu dapat mengelakkan kematian dan kemudaratan akibat cirit-birit pada bayi. Bayi yang tidak diberi susu ibu mempunyai 25 kali ganda risiko kematian akibat cirit-birit berbanding bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif.