APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI BIOPSI PAYUDARA

Apakah Itu Biopsi Payudara?

Biopsi payudara adalah suatu prosedur perubatan ringkas di mana sampel tisu payudara akan diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian. Menurut Mayo Clinic, biopsi payudara adalah cara terbaik untuk menilai jika apa-apa benjolan atau bahagian yang mencurigakan pada payudara itu adalah kanser (Mayo Clinic).
 
Ingat, sebarang benjolan pada payudara tidak selalunya kanser. Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan ketulan atau ketumbuhan pada payudara. Biopsi payudara boleh membantu menentukan sama ada benjolan di payudara anda adalah kanser atau benigna (bukan kanser).
 
 
Mengapa Biopsi Payudara Dilaksanakan?
 
Biopsi payudara biasanya dilakukan untuk menyiasat sebarang benjolan di payudara. Ini penting kerana walaupun benjolan payudara biasanya dianggap menakutkan, hanya satu daripada lima kes benjolan payudara adalah kanser, menurut Mayo Clinic.
 
Doktor anda biasanya akan melaksanakan biopsi jika dia mengesan sesuatu dapatan pada keputusan mamografi atau imbasan ultrabunyi payudara, atau sekiranya terdapat benjolan semasa pemeriksaan fizikal.
 
Biopsi juga mungkin diperintahkan jika ada perubahan pada puting anda, termasuk lelehan berdarah, kulit berkerak, bercawak, atau bersisik. Ini adalah semua petanda bagi tumor di payudara.
 
 
Risiko-risiko Pada Biopsi Payudara
 
Walaupun biopsi payudara agak mudah dan berisiko rendah, setiap prosedur pembedahan walaupun kecil pasti membawa risiko. Beberapa kesan sampingan dari biopsi payudara termasuk:
  • perubahan rupa payudara anda, bergantung kepada saiz tisu yang dikeluarkan
  • lebam dan pembengkakan payudara
  • kesakitan di kawasan suntikan
  • jangkitan laman biopsi
Pastikan anda mematuhi arahan doktor anda untuk kaedah penjagaan selepas biopsi. Ini akan mengurangkan kemungkinan jangkitan terhadap anda.
 
Komplikasi daripada biopsi biasanya jarang berlaku. Faedah-faedah daripada pemeriksaan benjolan yang berpotensi sebagai kanser, jauh melebihi risiko yang datang bersama prosedur ini.Lebih awal anda mengesan kanser payudara, lebih cepat rawatan dapat dimulakan, dan ia akan menjadikan peluang anda untuk bertahan hidup lebih baik.
 
 
Bagaimana Persiapan Bagi Biopsi Payudara?
 
Sebelum biopsi payudara dilakukan, maklumkan doktor anda mengenai sebarang alahan yang anda mungkin ada, terutamanya apa-apa sejarah reaksi alahan terhadap anestesia. Maklumkan juga tentang sebarang ubat-ubatan yang anda ambil termasuklah ubat-ubatan belian kaunter seperti aspirin atau apa-apa suplemen. Kerana ia berpotensi menyebabkan pencairan darah.
 
Sekiranya doktor anda mengatakan bahawa anda akan menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI), maklumkan terlebih dahulu jika anda mempunyai sebarang alat elektronik yang dipasang di dalam badan anda, seperti alat perentak jantung. Di samping itu, beritahu juga doktor anda jika anda sedang hamil atau bimbang anda mungkin hamil. Walaupun ujian ini selamat untuk orang dewasa, ia tidak dianggap sepenuhnya selamat untuk bayi yang belum lahir.
 
Pihak berwajib akan menasihatkan anda memakai bra ke temu janji anda bagi ujian ini. Anda boleh diberikan pek jaram sejuk selepas prosedur untuk membantu melegakan kesakitan dan keradangan. Bra anda akan membantu untuk mengekalkan pek jaram sejuk di tempatnya.
 
 
Bagaimanakah Biopsi Payudara Dilaksanakan?
 
Sebelum biopsi payudara dilakukan, doktor anda akan memeriksa payudara anda dahulu. Ini termasuklah pemeriksaan fizikal, ultrabunyi, mamografi, atau MRI.
 
Semasa salah satu ujian ini, doktor anda boleh meletakkan jarum nipis atau wayar ke kawasan tersebut supaya pakar bedah dapat mencari kawasan tersebut dengan mudah. Anda akan diberikan anestesia setempat untuk mematikan rasa di sekeliling benjolan.
 
 
Jenis-jenis Biopsi Payudara
 
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan pakar bedah untuk mengambil sampel tisu payudara anda. Ini termasuklah:-
 
Biopsi Jarum Halus - Untuk prosedur ini, anda akan berada di atas meja semasa pakar bedah anda memasukkan jarum kecil dan picagari ke dalam benjolan untuk mengeluarkan sampel. Ini membantu menentukan perbezaan antara sista (cyst) yang berisi cecair dengan benjolan yang berjisim pepejal.
 
Biopsi Teras - Sama seperti biopsi jarum halus, prosedur ini menggunakan jarum yang lebih besar untuk mengumpulkan beberapa sampel, setiap satu bersaiz seperti bijirin beras.
 
Biopsi Stereotaktik - Semasa prosedur ini, anda akan berbaring meniarap di atas meja dengan muka anda berada di dalam lubang meja. Meja ini berkuasa elektrik dan boleh dinaikkan mencondong. Dengan cara ini, pakar bedah boleh bekerja di bawah meja sementara payudara anda terletak di antara dua plat. Doktor bedah anda akan membuat potongan kecil dan mengeluarkan sampel dengan jarum yang berkuasa vakum.
 
Biopsi Teras Dipandu MRI - Semasa prosedur ini, anda akan berbaring meniarap di atas meja dengan muka anda berada di dalam lubang meja. Mesin MRI akan memberikan imej yang memandu pakar bedah kepada bahagian benjolan. Potongan kecil dibuat dan sampel diambil dengan jarum teras.
 
Biopsi Pembedahan - Prosedur ini melibatkan pembedahan sebahagian jisim payudara. Selepas itu, sampel akan dihantar ke makmal hospital, dan bahagian pinggir sampel akan diperiksa untuk memastikan seluruh benjolan kanser berjaya dikeluarkan. Penanda logam boleh ditinggalkan di payudara anda untuk pemantauan kawasan tersebut di masa akan datang.
 
 
Selepas Melaksanakan Biopsi Payudara
 
Selepas prosedur, anda akan dapat pulang ke rumah. Sampel pula akan dihantar ke makmal. Biasanya ia akan mengambil masa beberapa hari untuk dianalisis dengan betul.
 
Anda perlu menjaga luka biopsi dengan membersihkan dan menukar pembalut. Doktor anda akan memberi arahan kepada anda tentang bagaimana untuk mengurus luka anda dengan betul.
 
Sekiranya anda mengalami demam melebihi 100 ° F atau mengalami kemerahan, kehangatan atau lelehan dari luka biopsi, anda perlu menghubungi doktor anda. Ini semua adalah antara tanda-tanda jangkitan.
 
 
Keputusan Biopsi Payudara
 
Keputusan ujian anda boleh kembali sebagai benigna (tidak kanser), pra-kanser, atau kanser.
 
Sekiranya sampel tersebut adalah kanser, hasil biopsi juga akan mendedahkan jenis kanser itu. Jenis-jenis kanser payudara yang boleh dikesan termasuklah:-
  • Karsinoma duktus: kanser saluran payudara
  • Kanser payudara keradangan: jenis yang jarang berlaku, yang membuat kulit payudara kelihatan seperti dijangkiti
  • Karsinoma berlobul: kanser lobular, atau kelenjar yang menghasilkan susu
  • Penyakit Paget: jenis kanser yang jarang berlaku, yang menjejaskan puting
Doktor anda akan menggunakan dapatan jenis kanser dan maklumat lain dari biopsi untuk membantu merancang rawatan anda. Ini termasuk lumpektomi (pembedahan pembuangan tumor), rawatan penyinaran (radiasi), kemoterapi, dan / atau terapi hormon.
 
Walau bagaimanapun, beberapa keadaan bukan kanser juga boleh menyebabkan benjolan pada payudara. Antaranya:-
  • Adenofibroma: tumor benigna pada tisu payudara
  • Penyakit payudara fibrosista: benjolan payudara yang menyakitkan, disebabkan oleh perubahan hormon
  • Papiloma intraduktus: tumor kecil dan benigna pada saluran susu
  • Nekrosis lemak mamari: benjolan yang terbentuk oleh tisu lemak yang lebam, mati, atau cedera

Sumber Asal dari https://hellodoktor.com/ms/pusat-kesihatan/pusat-kesihatan-kanser-payudara/apa-yang-anda-perlu-tahu-mengenai-biopsi-payudara/

Contact Us

Breast Cancer Awareness & Research Unit (BestARi)
Hospital Universiti Sains Malaysia
No. Tel : 09-767 4056
E-mail : breastcenter@usm.my
 
 
BestARi
Breast Cancer Awareness & Research Unit

Links

Quick Links

Medical Records Unit
Department of Pharmacy
Staff Directory System
Department of Safety Zone Hospital USM

 

Internal Links

Main Campus
Health Campus
Engineering Campus
Advanced Medical & Dental Institute

Government Links

Logo MoHE 131x100 Blacklogo soaring upwards and new arrow OUTLINEmsc logo 250x190imagesMQA

Related Links

AVONmakna2CANCER RESEARCHLPPKN

IMR Malaysia

NCSM

435275
  • Last Updated on 22 September 2022, 04:01:51.