Blog

HOSPITAL USM SEDIA RAWATAN TERKINI BAGI RAWATAN KANSER PAYUDARA

USM KUBANG KERIAN,  30 Oktober 2018 - Tahap kesedaran wanita terhadap sel kanser payudara masih rendah menyebabkan kebanyakan penghidap yang merujuk ke hospital sudah berada di tahap kritikal dan gagal diselamatkan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari Halim berkata, kesedaran mendapatkan ujian pengesanan terhadap sel pembunuh senyap itu wajar dibuat seawal tahap satu lagi dan perlu dijalankan terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit itu.

"Kita boleh mengesan penyakit tersebut berdasarkan genetik dan sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser dan menerusi faktor itu mereka boleh dikesan sama ada berisiko tinggi atau tidak untuk mewarisi penyakit itu.

"Hospital USM mempunyai rawatan lengkap untuk rawatan seperti kemoterapi, radioterapi serta doktor pakar dalam bidang onkologi untuk merawat kanser," katanya ketika merasmikan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM di sini.

Tambah Sukari, kaedah rawatan dengan kecanggihan teknologi yang ada, membantu memanjangkan jangka hayat pesakit contohnya 80 hingga 90 peratus untuk pesakit kanser tahap dua dalam tempoh selepas lima tahun diagnosa, malah masih boleh diselamatkan.

"Bagi menggalakkan orang ramai menjalankan pengesanan awal terhadap kanser payudara, Hospital USM menawarkan kaedah 'Walk-In' kepada pesakit yang diselia oleh 'Breast Cancer Awareness and Research Team' (Bestari), Hospital USM.

"Perkhidmatan yang disediakan sejak lima tahun lalu itu memudahkan orang ramai mendapatkan ujian pengesanan awal malah lengkap dengan khidmat pakar berkaitan iaitu Pakar Radiologi dan Patologi termasuk pakar bedah jika mereka positif menghidap kanser payudara," ujarnya lagi.

Menurut Sukari, Hospital USM juga mampu membentuk semula (rekonstruktif) payudara bagi penghidap yang telah menjalani pembedahan membuang payudara dan merupakan hospital kedua di negara ini yang menawarkan perkhidmatan tersebut selain Hospital Kuala Lumpur.

"Rawatan yang diketuai oleh Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif Hospital USM, Profesor Madya Dr Wan Azman Wan Sulaiman itu dibuat menggunakan lemak yang diambil dari lapisan bawah perut dan dibentuk seperti payudara asal.

"Sejak dimulakan pada tahun 1997, ia berjaya memberi harapan baharu kepada 20 hingga 30 peratus pesakit setiap tahun," jelasnya.

Teks/ Foto : Mohamad Iqmal Mathlan

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud