Blog

DERMA ORGAN - SATU AMALAN KEMANUSIAAN YANG MULIA

KOTA BHARU, KELANTAN, 11 Oktober 2018 – Pendermaan organ adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan setelah meninggal dunia. Transplantasi (pemindahan organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsi dengan organ atau tisu yang mampu berfungsi dengan baik daripada penderma yang telah meninggal dunia.

dr suziena

Menurut Penyelaras Unit Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Suzina Sheikh Abdul Hamid, pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusiaan yang mulia kerana berjaya menyelamatkan satu nyawa dan memberi nafas baharu yang lebih sempurna kepada penerimanya.

“Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan. Apatah lagi bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang dan ia juga merupakan perkara yang amat rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit.

“Keputusan untuk pengizinan menderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia bukan sesuatu yang mudah dan ia pastinya akan membangkitkan beberapa kemusykilan bagi keluarga penderma,” katanya semasa ditemubual dalam rancangan Doktor Di Radio Kelantan FM, di sini.

Tambah Suzina, bagi mengelakkan perkara ini berlaku, penderma perlu memberitahu ahli keluarga mengenai keputusannya untuk menderma organ atau tisu selepas mereka meninggal dunia.

“Hai ini bertujuan memudahkan keluarga untuk memberikan kebenaran bagi pengambilan organ dan tisu selepas kematian penderma.

“Di Malaysia, semua orang layak untuk menderma organ kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C, Sifilis manakala bagi mereka yang berumur kurang dari 18 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada ibubapa,” ujarnya lagi.

Suzina berkata, penderma perlu menjalani proses saringan untuk memastikan organ atau tisu yang ingin didermakan selamat, tidak memudaratkan penerima dan boleh berfungsi dengan baik setelah ditransplantasi.

“Di antara proses saringan yang perlu dilakukan terhadap penderma adalah seperti  sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, ujian darah, pengimejan dan lain-lain bergantung kepada jenis organ dan tisu yang ingin didermakan.

“Ujian saringan ini biasanya dilakukan untuk memastikan tiada penyakit yang berbahaya seperti penyakit  berjangkit dan kanser serta bertujuan untuk memastikan status fungsi organ dan tisu tersebut,” jelasnya.

Suzina turut menjelaskan bahawa segala proses pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang terlatih dan mereka juga akan sentiasa menghormati jenazah penderma tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan semasa prosedur tersebut.

“Perolehan organ serta tisu seseorang penderma itu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badannya kerana selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahit dengan sempurna serta jenazah penderma tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal,” tambahnya lagi.

Teks/Foto : Anawiah Abdul Aziz

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud