Blog

RAWATAN AWAL MAMPU PULIHKAN SAKIT MENTAL

KUBANG KERIAN KELANTAN , 17 September 2018 – Penyakit mental (Psikiatri) adalah penyakit yang menjadi punca utama ketidakfungsian seseorang individu dan berdasarkan kajian ‘World Health Organization’ (WHO) menunjukkan penyakit mental menduduki tempat ke 10 teratas penyebab hilang upaya di seluruh dunia. 

Kajian ‘Global  Burden Disease’ 2016 pula mendapati penyakit mental menyumbang 32.4 peratus ketidakupayaan hidup di antara semua penyakit – penyakit lain.

Dr Nor Asyikin Fadzil

Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Perubatan, Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Nor Asyikin Fadzil, antara penyakit psikiatri yang umum adalah seperti Skizophrenia iaitu (masalah mental kronik), Bipolar Disorder, kemurungan dan kebimbangan atau kegelisahan tanpa sebab munasabah.

“Penyakit - penyakit mental ini berpusat di otak seseorang pesakit disebabkan kefungsian otak mereka tidak stabil ekoran daripada penyakit ini serta akan menjejaskan kebolehan mereka untuk berfikir, bertutur, bertindak, berperasaan dan mengawal tingkah laku mereka. 
“Mereka ini memerlukan bantuan kita untuk dirawat serta perlu dibawa ke hospital berjumpa pakar psikiatri dan diberikan rawatan ubatan dan dengan adanya rawatan moden terkini, kemungkinan besar mereka boleh dirawat,” katanya ketika menjadi tetamu di rancangan Doktor Di Radio Kelantan FM, di sini.

Nor Asyikin berkata, pengesanan awal penyakit mental amat perlu bagi mendapatkan rawatan selanjutnya kerana Jabatan Psikiatri di setiap hospital di Malaysia ada menyediakan Unit Komuniti dan Rehabilitasi Psikiatri.

“Unit ini bertanggungjawab menjalankan fungsi perawatan di komuniti atau dengan kata lain di rumah pesakit itu sendiri dengan bantuan ahli keluarganya ke arah pemulihan secara menyeluruh.

“Anggota kami yang terdiri daripada pelbagai peringkat seperti doktor pakar, para doktor, jururawat, pegawai jurupulih cara kerja, pegawai kebajikan masyarakat dan ahli farmasi akan mengadakan lawatan ke rumah dan membuat penilaian khusus terhadap seseorang pesakit untuk menilai tahap keadaan mereka sebelum memulakan proses pemulihan,” ujarnya.

Tambah Nor Asyikin lagi, terdapat juga proses pemulihan yang dibuat di hospital sekiranya ia memerlukan latihan yang lebih komprehensif.

“Antara latihan pemulihan atau rehabilitasi yang disediakan ialah pemulihan penjagaan dan kebersihan diri, pemulihan aktiviti seharian (activity daily living) dan minat, pemulihan domestik, penilaian dan pemulihan kognitif dan tingkah laku, penilaian dan pemulihan sosial, penilaian kefungsian kerja serta latihan kemahiran kerja.

“Stigma masyarakat yang mengangap pesakit mental tidak dapat dirawat adalah tidak benar sama sekali, komuniti  perlu memberi perhatian kepada semua ahli keluarga mereka agar tidak membiarkan mereka ini terus dibelenggu dengan masalah mental. Sekiranya terdapat sebarang kelainan dari kebiasaan, mereka ini perlulah segera dirujuk ke hospital khususnya Jabatan Psikitri agar penyakit ini dapat dirawat pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih parah,” jelasnya lagi.

Teks/foto: Abdul Aziz Latif

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud