Blog

KENALPASTI MASALAH TUMBESARAN, ELAK PERKEMBANGAN FIZIKAL KANAK-KANAK DAN REMAJA TERJEJAS

KOTA BHARU, KELANTAN, 2 Ogos 2018 – Tumbesaran merupakan pertumbuhan fizikal terdiri daripada perkembangan dan perubahan pada bahagian fizikal seperti berat badan, ketinggian, lilitan kepala dan lengan, nisbah badan, kaki, kandungan lemak badan, pertumbuhan gigi dan rangka tulang, pendengaran serta penglihatan.

Secara umumnya, perkembangan fizikal kanak-kanak atau remaja yang normal biasanya mempunyai tahap kesihatan yang baik, manakala tumbesaran yang terbantut pula merupakan petanda kemungkinan besar kanak-kanak mengalami masalah kesihatan yang boleh menjejaskan perkembangan fizikal.

Menurut Pakar Perunding Kanak-kanak Pediatrik Endokrinologi, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Suhaimi Hussain, antara penyebab tumbesaran fizikal terencat atau terbantut kebiasaannya berkait rapat dengan empat kategori iaitu masalah penyakit perubatan, genetik, hormon dan kebakaan.

Dr Suhaimi Hussain

“Penyakit perubatan seperti masalah penyerapan zat-zat makanan akibat radang usus, perkumuhan dan masalah pernafasan seperti asma, jantung berlubang dan sebagainya akan menyebabkan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak dan remaja terganggu.

“Penyebab seterusnya mengenai masalah lain mungkin berkaitan genetik, sejarah kelahiran bayi pramatang yang tidak cukup berat badan dan dilahirkan dengan kelainan rupa paras yang dikenali sebagai 'Sindrom Down'," jelasnya semasa menjadi tetamu Rancangan Doktor di Radio.

Suhaimi berkata, antara penyebab lain yang mengganggu perkembangan fizikal kanak-kanak dan remaja ialah disebabkan masalah dengan suis otak di dalam sel-sel badan yang mengawal hormon tumbesaran.

"Namun begitu, terdapat juga tumbesaran kanak-kanak yang agak perlahan disebabkan kebakaan yang diwarisi dari ibu dan ayahnya yang semasa waktu kecil mereka juga mengalami masalah sama," ujarnya lagi.

Tambah Suhaimi, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak juga disarankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat keraguan tentang tumbesaran kanak-kanak, lakukan pemeriksaan kesihatan dengan segera bagi mengesan penyakit ini sekaligus dapat membantu tumbesaran mereka dari terus terjejas.

Teks / Foto : Abdul Aziz Latif

 

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud