Blog

DIET DI BULAN SYAWAL

KOTA BHARU, 21 Jun 2018 - Undangan musim perayaan memang menjadi kebiasaan masyarakat melayu yang perlu dipenuhi bagi mengeratkan silaturahim. Namun, bagi mereka yang mengamalkan diet sudah tentu perlu berhati-hati dalam mengambil makanan.

Dr Rohana

Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rohana Abdul Jalil berkata, kita tidak boleh menolak jemputan namun apa yang penting kita perlu mengatur cara pengambilan makanan agar dapat memenuhi semua undangan sambil mengekalkan diet pemakanan sihat.

"Pastikan kita melihat dahulu semua menu yang dihidang kemudian memilih makanan kerana rumah yang seterusnya mungkin menghidangkan juadah yang sama, sekurang-kurangnya jika kita sudah mengetahui jumlah kalori, kita boleh menganggarkan makanan yang patut diambil.

"Sebagai contoh lima cucuk sate bersamaan 200 kilo kalori, satu potong lemang bersaiz biasa bersamaan 120 kilo kalori, kebanyakan kuih raya biasa melebihi 100 kilo kalori yang mana tiga biji kuih sudah bersamaan dengan satu cawan nasi," katanya ketika ditemuramah dalam Rancangan Doktor Di Radio.

Tambah Rohana, masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu memang terkenal dengan makanan nasi berlauk sebagai sarapan pagi.

"Tabiat ini sukar diubah namun bagi mereka yang ingin berdiet, mereka hanya perlu mengurangkan saiz atau posi makanan iaitu pengambilan nasi sebanyak satu hingga dua cawan sahaja dalam satu hidangan," ujarnya.

Mengulas berkenaan 'Atkins Diet' yang mengurangkan pengambilan karbohidrat, Rohana menegaskan, kita tidak perlu menyeksa diri untuk tidak makan nasi dagang dan sebagainya dan kerana tubuh kita memerlukan karbohidrat, sebagai contoh orang Kelantan zaman dulu pun mengamalkan pemakanan nasi dan pulut namun tidak menyebabkan kegemukan.

"Kita perlu mematuhi keseimbangan hukum tenaga iaitu apa yang kita makan kita perlu bakar, seperti orang dulu-dulu mereka mengambil nasi namun mereka juga bercucuk tanam, bersawah dan sebagainya untuk membakar kembali kalori yang diambil.

"Kenaikan berat badan masyarakat di Kelantan adalah berpunca  daripada  corak pengambilan makanan sebagai contoh nasi berlauk dijual 24 jam, jadi kebolehdapatan makanan itu tinggi dan senang walaupun pertumbuhan gimnasium pun dilihat sama naik, tetapi hanya segelintir yang pergi bersenam dan menjadikannya sebagai rutin hidup," katanya lagi.

Jelas Rohana, di USM terdapat satu program penurunan berat badan selama tiga bulan yang mana peserta diajar mengambil makanan rutin Kelantan mengikut posi yang betul dan program ini adalah sejajar dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Di samping itu, turut diperkenalkan senaman yang sesuai dengan orang Kelantan. 
"Setiap individu perlu mengamalkan budaya bersenam satu jam setiap hari bagi mereka yang ingin menurunkan berat kerana bersenam tu penting selain menikmati variasi makanan tempatan," nasihat Rohana.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud