Blog

PENGURUSAN EMOSI MENGGUNAKAN 'EMOTIONAL INTELLIGENCE'

USM, KUBANG KERIAN, 29 April 2018 – Emosi merujuk kepada suatu perasaan dan fikiran khusus, melibatkan biologi dan psikologis serta membawa kepada kecenderungan untuk bertindak. Emosi pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zarawi Mat Nor berkata, ‘Emotional Intelligence’ (EQ) mempunyai lima komponen yang terdiri daripada kesedaran diri, kawalan diri, motivasi diri, empati dan juga kemahiran sosial.

Dr Mohd Zarawi Mat Nor

“Kesedaran diri atau kewarasan diri adalah kebolehan kita untuk mengetahui dan mengenali emosi atau perasaan sendiri. Selain itu, ia juga untuk mengetahui dan memahami perhubungan antara emosi, fikiran, kelakuan dan reaksi terhadap perasaan yang dialami. 
“Apabila kita beremosi, kita seharusnya sedar apakah perasaan yang sedang kita hadapi sama ada sedang marah, takut atau sedih,” ujarnya semasa menjadi tetamu di rancangan Doktor Di Radio, di sini.

Menurut Mohd Zarawi, kawalan diri atau pengurusan diri pula ialah kebolehan seseorang mengawal atau menanggung emosi sendiri dan mampu mengawal atau mengurus secara rasional situasi dan desakan – desakan dalaman diri iaitu bisikan dalaman. 

“Di sini kita boleh lihat jika seseorang tidak dapat mengawal emosi, dia akan memberontak dan mempamerkan emosi yang dia sedang hadapi. 

“Motivasi diri iaitu kecenderungan emosi yang boleh memimpin dan membantu mencapai matlamat merupakan dorongan kepada kita dan jika dilihat dari sudut emosi, ia merupakan kebolehan untuk bertahan apabila berhadapan dengan halangan yang boleh menyebabkan kita beremosi,” jelasnya lagi. 

Tambah Mohd Zarawi, empati pula ialah kebolehan seseorang memahami perasaan dan masalah orang lain contohnya kita dapat merasai apa yang orang lain rasa, melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan, berfikir atau bertindak dari sudut pandangan orang lain dan menghargai perbezaan perasaan atau pendapat orang lain mengenai pelbagai perkara.

“Di samping itu, kemahiran sosial merupakan kemahiran seseorang mengendalikan emosi orang lain. Kemahiran ini penting kerana atas nasihat kita, kita berjaya mengawal emosi orang lain daripada berlebihan. 

“Namun, ada juga situasi yang mana disebabkan nasihat kita, emosi orang lain menjadi semakin teruk,” jelasnya. 

Teks: Sumaiyah Mohamed Nazari (Pelajar Praktikal UiTM)/ Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood       

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud