Blog

MEROKOK PUNCA UTAMA KANSER PITA SUARA

USM KUBANG KERIAN, 29 Mac 2018 - Pita suara atau lebih dikenali peti suara merupakan struktur penting dalam kawasan halkum seseorang yang berfungsi mengawal kualiti suara dan merupakan pintu kawalan saluran pernafasan yang sering terdedah kepada masalah perubatan.

Ramai yang tidak mengetahui pita suara boleh terlibat dengan kanser. Tabiat merokok merupakan penyebab paling utama kanser pita suara. Ini berlaku disebabkan asap rokok yang mengandungi pelbagai bahan tidak baik akan melalui saluran peti suara dan akhirnya boleh mengakibatkan suara menjadi serak berpanjangan, sukar menelan dan bernafas serta batuk berdarah.

Pada tahap kritikal pesakit biasanya akan datang ke hospital dalam keadaan tercungap-cungap, sukar bernafas dan nafas yang berbunyi disebabkan pita suara menjadi semakin sempit akibat berlaku ketumbuhan.

dr irfan

Menurut Pensyarah Perubatan Kanan dan Pakar Bedah,  Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Irfan Mohamad, pemeriksaan awal amat penting untuk mengesan kehadiran kanser pita suara kerana pada peringkat ini terdapat pelbagai rawatan boleh dibuat tanpa pembedahan.

"Pemeriksaan awal adalah melalui kaedah 'Laryngoscopy' iaitu melihat keadaan pita suara sama ada mempunyai masalah, jika didapati terdapat sesuatu pada peti suara maka kaedah 'biopsy' akan dilakukan iaitu dengan mengambil sampel tisu untuk dikaji di makmal bagi mengesahkan sama ada ia adalah sel kanser atau sebaliknya.

"Rawatan pada peringkat awal adalah melalui kaedah radioterapi yang mengambil masa hampir tujuh minggu di mana pesakit boleh datang secara berulang dari rumah dan rawatan ini boleh menyelamatkan struktur pita suara tersebut namun malangnya ramai yang tidak berbuat demikian,” katanya dalam sesi temubual rancangan di radio tempatan pagi tadi.

dr irfan1

Tambah Irfan, rawatan lain pula adalah melalui membuang kanser menggunakan laser secara 'one off' yang mengambil masa lingkungan tiga hari.

"Pada tahap empat, biasanya rawatan yang diberikan adalah melalui pembedahan membuang keseluruhan  struktur kerongkong dan mengalihkan saluran pernafasan secara 'bypass' terus keluar ke bahagian leher dan pesakit akan bernafas melalui saluran tersebut.

"Walaupun pembedahan membuang seluruh struktur halkum bukan pilihan utama namun ia adalah pilihan terakhir demi menyelamatkan nyawa," ujarnya.

Jelas Irfan, pesakit tidak perlu bimbang kerana mereka  terlebih dahulu diberi khidmat kaunseling berkenaan kesan daripada pembedahan supaya mereka akan lebih yakin dan bersedia untuk menjalani kehidupan selepas pembedahan.

Pesakit boleh memilih beberapa kaedah untuk berkomunikasi seperti menggunakan alat yang dipegang di luar atau memasukkan satu alat ke dalam bahagian leher supaya suara boleh keluar namun begitu suara tersebut tidak sama seperti suara normal tapi masih lagi mampu difahami untuk tujuan komunikasi.  Terdapat juga kumpulan sokongan yang diwujudkan daripada pesakit yang telah menjalani pembedahan bertemu dan berbincang semasa mereka. Kebanyakan daripada mereka ini mampu menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

Nasihat Irfan berhubung perkara ini, jauhi amalan merokok, gunakan suara dengan kaedah yang betul iaitu tidak bercakap secara kuat dalam tempoh masa yang panjang dan kurangkan berbisik kerana ini akan menyebabkan peti suara akan menjadi tegang.

Teks & Foto : Mohd Hafiz Yaacob

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud