Blog

RAWATAN KESUBURAN BANTU PASANGAN DAPATKAN ZURIAT

KELANTAN, 15 Februari 2018 – Ketidaksuburan atau mandul, bermaksud ketidakupayaan untuk hamil walaupun kerap melakukan hubungan kelamin tanpa penggunaaan sebarang alat pencegahan kehamilan selepas setahun perkahwinan.

Dr Rahimah Abdul Rahim

Menurut Pensyarah dan Pakar Klinikal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Rahimah Abdul Rahim, pada amnya selepas setahun perkahwinan, 85 peratus pasangan yang berkahwin akan hamil manakala pada tahun kedua pula, peluangnya adalah sangat tinggi dan kajian mendapati lebih 90 peratus daripada pasangan yang berkahwin akan hamil setelah melakukan hubungan kelamin.

“Merujuk kepada perangkaan statistik negara pada tahun 2016, jumlah kelahiran menunjukkan sebanyak 508,203 iaitu berkurangan sebanyak 2.5 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya iaitu tahun 2015.

“Kadar kesuburan wanita pada tahun 2016 bagi lingkungan umur 15 hingga 45 tahun ialah 1.9 peratus dan ini adalah lebih rendah berbanding tahun 2015 iaitu 2.0 peratus,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini. Tambah Rahimah, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran ialah perkahwinan lewat kerana keutamaan kepada karier, kecenderungan untuk memiliki saiz keluarga yang kecil, peningkatan masa wanita bekerja di luar rumah, kekangan ekonomi dan perkahwinan jarak jauh. ”Melalui statistik tahunan kehadiran pesakit ke klinik infertiliti atau klinik kesuburan Hospital USM, 35 peratus pesakit yang hadir untuk mengenal pasti kemandulan adalah disebabkan masalah tiada proses ovulasi, permasalahan sperma, saluran tiub fallopian tersumbat, permasalahan antara  suami serta isteri dan tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kemandulan.

”Ada beberapa rawatan kesuburan yang bersesuaian dengan punca kemandulan tersebut selepas menjalani pemeriksaan antaranya ialah pemandian berhadas atau Intrauterine insemination (IUI) serta perawatan bayi tabung uji atau  In Vitro Fertilization (IVF),” ujarnya lagi.

Rahimah berkata, bagi kaedah rawatan IVF, pasangan terlebih dahulu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, termasuk ujian hormon dalam darah dan analisa sampel sperma sebelum sesi kaunseling untuk diberi penerangan mengenai ubat-ubatan hormon, kesan sampingan serta kos yang diperlukan.

“Terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku semasa menjalani IVF iaitu rangsangan yang berlebihan dari ubat hormon yang diambil, ubat hormon yang diambil gagal merangsang perkembangan telur, gagal memperoleh benih dari prosedur pengambilan benih dan benih yang diperolehi gagal bersenyawa dengan sperma suami disebabkan tiada embrio terhasil untuk dipindahkan ke dalam rahim isteri.

“Beberapa persediaan juga perlu dilakukan sebelum rawatan IVF dijalankan iaitu berhenti merokok, mengurangkan pengambilan kafein dan merawat penyakit yang sedia ada seperti endometriosis,” katanya lagi.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Wan Nur Fashehah Wan Abdul Rahman (Pelajar Praktikal USM)

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud