• Utama
  • Berita
  • KENALI PENYAKIT JANTUNG UNTUK MENGELAKKAN SERANGAN MAUT

KENALI PENYAKIT JANTUNG UNTUK MENGELAKKAN SERANGAN MAUT

KUBANG KERIAN, 24 September 2016 - Penyakit  jantung boleh dibahagi kepada dua iaitu penyakit jantung kongenital dan 'acquired' dengan penyakit jantung kongenital dihidapi oleh pesakit sejak dari lahir iaitu semasa pembentukan jantung dalam rahim ibu lagi dan terbahagi kepada dua iaitu yang biasa atau kompleks.

IMG 2983

Pakar Bedah Kardiothorasik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ziyadi Ghazali berkata bagi kongenital yang biasa seperti jantung berlubang sama ada antara dua bilik kecil atau antara dua bilik besar jantung disebabkan dinding yang memisahkan antara keduanya tidak lengkap manakala yang kompleks pula berlaku bermacam-macam keganjilan seperti pertukaran tempat salur darah agong dengan salur darah paru-paru, ketiadaan satu bilik jantung dan sebagainya hingga boleh menyebabkan bayi meninggal sebelum lahir atau tidak dapat hidup lama selepas lahir.

Tambah Ziyadi, bagi penyakit jantung 'acquired' pula, pesakit mempunyai jantung yang normal semasa lahir tetapi disebabkan berlaku sesuatu semasa tempoh kehidupannya menyebabkan jantung mendapat penyakit seperti penyakit injap jantung dan kesumbatan salur darah kepada otot jantung atau dikenali juga penyakit salur darah koronari.

"Penyakit injap yang dihidapi oleh golongan muda berpunca daripada jangkitan kuman menyebabkan injap rosak, menjadi sempit dan bocor manakala bagi golongan tua pula kerosakan injap berlaku disebabkan faktor usia yang mana kesempitan atau kebocoran boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung pada masa akan datang.

"Penyakit salur darah koronari pula berlaku disebabkan salur darah tersumbat oleh plak atheroma mengakibatkan bekalan darah untuk otot jantung mengepam darah tidak mencukupi hingga menyebabkan kesakitan pada dada pesakit dan sekiranya kesumbatan penuh berlaku secara tiba-tiba, pesakit akan mendapat serangan jantung atau 'heart attack' yang boleh membawa maut," katanya lagi.

IMG 2975

Pesakit yang mempunyai penyakit salur darah koronari berisiko mendapat serangan jantung di mana sebahagian daripada otot jantung mengalami kerosakan akibat ketiadaan bekalan darah menyebabkan jantung tidak dapat mengepam darah kepada organ-organ lain seperti otak, buah pinggang dan sebagainya.

Tahap kesumbatan pada salur-salur darah tersebut akan menentukan jenis rawatan yang akan diterima oleh pesakit.

Bagi kes-kes tidak serius rawatan secara ubat-ubatan adalah memadai manakala bagi kesumbatan satu atau dua salur darah, prosedur balloon angioplasty dan steting mungkin menjadi pilihan.

Namun bagi kes kesumbatan serius pula iaitu kesumbatan pada ketiga-tiga salur darah atau kesumbatan pada salur darah pangkal sebelah kiri, biasanya pesakit akan dirujuk untuk pembedahan pintasan koronari jantung atau 'coronary artery bypass surgery'.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud