• Utama
  • Berita
  • USM DAPAT KHIDMAT PAKAR KARDIOTORASIK PEDIATRIK UK BEDAH JANTUNG KANAK-KANAK

USM DAPAT KHIDMAT PAKAR KARDIOTORASIK PEDIATRIK UK BEDAH JANTUNG KANAK-KANAK

bedah2

KUBANG KERIAN, KELANTAN 25 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima bantuan kepakaran sepasukan doktor pakar bedah jantung kanak-kanak yang dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan badan amal ‘Healing Little Heart’ (HLH) bagi melakukan pembedahan terhadap pesakit yang memerlukan di Hospital USM baru-baru ini.

Badan amal ini menghantar sepasukan doktor pakar untuk menyumbang kepakaran mereka dalam memberi perkhidmatan pembedahan Kardiotorasik Pediatrik kepada pesakit jantung kanak-kanak yang dirujuk ke Hospital USM selain memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada pasukan perubatan Hospital USM.

Menurut Pakar Pediatrik, Unit Kardiologi Pediatrik Hospital USM, Dr Mohd Rizal Mohd Zain, Hospital USM antara hospital yang menawarkan perkhidmatan Kardiologi Pediatrik sejak tahun 2000 dan telah melakukan prosedur-prosedur invasif setara dengan Institut Jantung Negara (IJN).

bedah3

“Perkhidmatan Kardiotorasik Pediatrik tidak terdapat di Hospital USM kerana perkhidmatan ini masih lagi terhad di Malaysia dan hanya terdapat di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Serdang sahaja.

“Hospital lain seperti Hospital Pulau Pinang, Hospital Johor Bharu hanya menjalankan perkhidmatan yang terhad dan kes-kes mudah kerana ketiadaan pakar bedah Kardiotorasik Pediatrik,” jelasnya.

Mohd Rizal berkata, Hospital USM menerima sumbangan daripada HLH yang menghantar seorang pakar Kardiotorasik Pediatrik iaitu Profesor Antonio Corno, seorang Pakar Intensivis Pediatrik dan dua orang jururawat ICU untuk melakukan pembedahan terdapat pesakit Hospital USM.

“Sepanjang tempoh berada di sini, sembilan kes pembedahan berjaya dilakukan dengan jayanya yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan senarai menunggu pesakit yang memerlukan pembedahan jantung di IJN.

bedah1

“Selain itu, perkhidmatan ini juga membantu mengurangkan kos pembedahan jantung bagi pesakit yang dirujuk ke IJN yang menelan belanja kira-kira RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap pembedahan,” ujarnya lagi.

Tambah Mohd Rizal, pendedahan yang diberikan oleh pasukan perubatan daripada United Kingdom ini juga memberi peluang kepada USM  membina reputasi sebagai Pusat Perkhidmatan Kardiologi &Kardiotorasik Pediatrik yang ulung di Malaysia pada masa akan datang.

“Program ini membuka peluang untuk USM membina hubungan dengan pihak Luar Negara selain berpeluang untuk melakukan pertukaran kakitangan dan teknologi pada masa hadapan.

“Buat masa ini USM mempunyai seorang pakar Kardiotorasik yang baru menamatkan latihan di IJN selama 3 tahun dan ini merupakan peluang terbaik untuk mendapat pendedahan lebih lanjut terhadap teknik pembedahan jantung pediatrik,” jelasnya lagi.

Mohd Rizal berkata, selain itu, penubuhan pasukan bedah Kardiotorasik Pediatrik di Hospital USM nanti diharap dapat membantu masyarakat terutamanya di sekitar Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang bagi mengurangkan masa menunggu untuk menjalani pembedahan jantung kanak-kanak di IJN.

Teks/Foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel, Wan Nurul Azreen Wan Abdul Aziz (Pelajar Internship UUM) dan Nuradlin Syafini Nawi (Pelajar Internship UiTM)

Tags: Khidmat Pakar Kardiotorasik

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud