KEPENTINGAN IMUNISASI DALAM MENINGKATKAN KETAHANAN BADAN

KOTA BHARU, 29 Disember 2016 – Penyakit berjangkit adalah penyebab utama berlakunya kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Imunisasi adalah cara yang efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit ini dan semua kanak-kanak berhak mendapat imunisasi yang lengkap.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maryam Azlan berkata, imunisasi adalah pemberian vaksin bagi mencegah penyakit-penyakit berjangkit yang merbahaya manakala vaksin pula ialah kuman yang telah dilemahkan yang mampu merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan kuman yang membawa penyakit.

“Pada masa kini, walaupun kita mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan standard kebersihan yang lebih baik, penyakit masih lagi wujud.

“Imunisasi memberi faedah kesihatan kepada kanak-kanak kerana dapat mengelakkan daripada dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian,” jelasnya ketika bercakap dalam temubual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio, di sini.

Tambah Maryam lagi, di Malaysia Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950-an dan perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan bagi mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu iaitu tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

“Apabila vaksin diberikan kepada kanak-kanak, ianya akan membentuk antibodi atau pertahanan bagi melawan bakteria liar yang menyerang sistem badan.

“Dengan wujudnya antibodi tersebut, ia dapat melindungi kanak-kanak tersebut daripada dijangkiti penyakit berjangkit dan komplikasi penyakit tertentu, di samping mengelak serta mengurangkan komplikasi atau gejala penyakit,” jelasnya lagi.

Maryam berkata, semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan vaksin-vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (efikasi).

"Menyentuh tentang imunisasi, ada sesetengah pihak yang menyatakan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak boleh memberi kesan sampingan dan ibu bapa seharusnya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan betul sebelum menjatuhkan hukum terhadap sesuatu.

“Apabila timbul pandangan seperti itu, kita kena ketahui lebih lagi maklumat kerana risiko kesan imunisasi sampingan pengambilan vaksin ini lebih kecil berbanding jika anak-anak tidak mengambilnya dan anak-anak terdedah kepada jangkitan penyakit,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihak berwajib sentiasa memberi penerangan kepada pesakit atau ibubapa mengenai faedah imunisasi dan kepentingan mematuhi jadual imunisasi sebelum vaksin diberikan.

"Media sosial juga seharusnya memberikan kerjasama yang baik bagi menghebahkan perkara yang benar mengenai vaksin.

“Pengetahuan mengenai imunisasi adalah penting dalam kalangan ibu bapa, dan ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi supaya mereka dapat membesar dalam keadaan yang sihat dan selamat kerana imunisasi adalah hak anak yang perlu dipenuhi demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup,” jelasnya lagi.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

SUMBANGAN OZEL RINGANKAN BEBAN KEWANGAN PESAKIT KURANG BERKEMAMPUAN

KUBANG KERIAN, 28 Disember 2016 - Ozel Jewellery (M) Sdn. Bhd melaksanakan tanggungjawab sosial syarikatnya dengan menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak (PEKA) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan hamper kepada pesakit di Wad Kanak-kanak di sini hari ini.

Penyelaras Program Anak Angkat Kanser dan Penyakit Kronik PEKA yang juga Pensyarah Perubatan, Jabatan Pediatrik, HUSM, Profesor Madya Dr. Ariffin Nasir berkata, 80 hingga 90 peratus pesakit di Kelantan yang menghidap penyakit kanser tergolong daripada keluarga yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan kos rawatan.

“Sumbangan yang diberikan ini diharap dapat membantu meringankan beban atau derita yang ditanggung oleh pesakit dan penjaga mereka kerana bukan mudah untuk mereka menerima hakikat bahawa anak sekecil ini menghidap penyakit kronik.

“Sumbangan dan lawatan ini juga dapat menyuntik motivasi, kegembiraan dan meningkatkan semangat pesakit yang berusaha untuk kembali sembuh seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Cek kepada PEKA.

Sementara itu, Pengarah Ozel Jewellery (M) Sdn. Bhd, Peter Chew Tek Ping pula berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada HUSM kerana memberi peluang untuk mereka mendekati pesakit selain berkongsi cerita untuk memberikan kegembiraan pada wajah mereka.

“Aktiviti ini juga dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada kakitangan Ozel supaya lebih prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak pesakit kanser.

“Kadang-kadang kita terlepas pandang terhadap pesakit kanser kanak-kanak dan tidak ramai tahu sebenarnya mereka sangat memerlukan bantuan bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah sokongan dan motivasi untuk melawan penyakit itu,” ujarnya.

Turut hadir sama di majlis tersebut adalah Penolong Pengarah Kanan Kejururawatan HUSM, Raudzah Haji Mohamed Ariffin dan Penolong Pengarah Kejururawatan HUSM, Rusnah Yaso’.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

LIMA CALON SPM DUDUKI PEPERIKSAAN DI HOSPITAL USM

LIMA CALON SPM DUDUKI PEPERIKSAAN DI HOSPITAL USM

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 November 2016 – Lima daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) di Kelantan dan Terengganu terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Universiti Sains Malaysia hari ini.

teo

Menurut Penyelia Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital USM, Teo Seng Hue, kelima mereka menduduki peperiksaan di Hospital USM kerana mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti mendapatkan rawatan jangka panjang di hospital, masalah kesihatan mata, keracuna makanan dan sebagainya.

 “Kami sentiasa memberi perhatian dan kerjasama kepada pesakit dan pelajar yang berada di hospital ini bagi memudahkan mereka menjawab peperiksaan dengan selesa dan tenang.

“Pesakit boleh memilih untuk menjawab peperiksaan di bilik peperiksaan, bilik tutorial atau di katil pesakit dalam wad mengikut keselesaan mereka bergantung kepada penyakit yang dialami,” ujarnya.

SDH Hospital USM ditubuhkan pada 18 September 2012 menyediakan pendidikan yang formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif secara santai (fun learning) bagi murid yang sedang dirawat di hospital.

Selain itu, SDH juga ditubuhkan untuk menyokong dan memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran selain turut menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada semua peringkat umur kanak-kanak yang bersekolah tanpa batasan tempat dan keadaan serta menyediakan pendidikan di hospital bagi murid sakit melalui pelbagai pendekatan sebagai satu bentuk terapi.

t azman

Seorang calon SPM yang menduduki peperiksaan dalam wad Hospital USM, Nurul Ain Najihah Salleh, 17, beliau tidak menyangka akan menduduki peperiksaan itu di hospital selepas dimasukkan ke wad dua hari lalu.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini dan tidak perlu menangguhkannya ke tahun hadapan walaupun dalam keadaan sakit.

“Saya tidak mengabaikan persediaan menghadapi SPM kerana guru-guru dan kawan sekolah sering berkunjung ke sini untuk membantu saya membuat ulangkaji dan kadangkala saya juga menghubungi mereka melalui telefon untuk memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran,” kata pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut ,Terengganu yang mengalami masalah kesihatan ulser pada matanya.

Nurul Ain berkata, guru-guru SDH Hospital USM juga banyak membantu dirinya mengulangkaji pelajaran serta menjadi tempat rujukannya sekiranya tidak memahami satu-satu subjek itu dengan baik.

Teks / Foto : Abdul Aziz Latif

BATU KARANG BUKAN PEMUSNAH KEHIDUPAN

Dato Dr Azhar

KUBANG KERIAN, 20 Oktober 2016 - Dianggarkan dua daripada 10 orang di negeri Kelantan yang berumur lebih 40 tahun ke atas menghadapi masalah batu karang.

Batu karang urinari adalah sejenis penyakit berpunca daripada pembentukan kristal halus yang termendap dan terkumpul dalam sistem urinari yang mana komposisi utamanya terdiri daripada beberapa jenis garam galian.

Menurut Pakar Urologi, Jabatan Surgeri Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dato' Dr. Azhar Amir Hamzah, pembentukan batu karang boleh terjadi di mana-mana bahagian sistem urinari.

"Ini termasuk buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang boleh mengakibatkan sistem urinari tersumbat menyebabkan buah pingang menjadi bengkak 'hidronefrosis' seterusnya merosakkan penapis-penapis mikro iaitu nefron dalam buah pinggang sehingga akhirnya mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang 'Cronic Renal Failure'," kata beliau dalam temubual bersama stesen radio tempatan di sini pagi tadi.

Tambah Azhar, antara punca yang menyumbang adalah corak pemakanan, ada sesetengah makanan lebih cenderung untuk pembentukan batu karang, kurang pengambilan air masak, penyakit paras urik asid dan kalsium terlalu tinggi serta jangkitan kuman dalam sistem urinari selain daripada faktor genetik. Risiko seseorang itu mendapat serangan penyakit batu karang berulang adalah tinggi jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.

Secara amnya batu karang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu batu karang kalsium, batu karang urik asid dan batu karang struvite. Ada yang boleh dilihat melalui x-ray dan ada yang tidak, semua ini adalah kandungan mineral dalam badan manusia.

Simptom penyakit ini berbeza-beza bergantung kepada kedudukan, saiz, jenis batu karang. Bagi batu karang dalam buah pinggang, pesakit akan merasa sakit belakang, di samping demam yang berulang, kencing tidak lawas, kencing berdarah dan kencing yang kerap.

Kaedah mengesan batu karang adalah melalui ujian air kencing, ujian darah atau kaedah pengimejan seperti 'x-ray', 'ultrasound' dan 'CT scan'.

Azhar menjelaskan, terdapat pelbagai kaedah rawatan secara perubatan dan pembedahan yang dapat membantu pesakit dalam mengubati penyakit ini pada masa kini.

"Antara rawatan awal bagi batu karang adalah secara kaedah 'follow up' bagi saiz batu karang yang kecil, atau dengan pengambilan ubat anti urik asid untuk menurunkan paras urik asid.

"Hospital USM adalah antara sebuah hospital yang menyediakan rawatan terkini 'Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy' (ESWL) di Pantai Timur, yang mana kaedah rawatan memecahkan batu karang dengan cara laser atau ultrasound tanpa memerlukan sebarang pembedahan serta kaedah rawatan 'Endoscopy' yang juga tanpa pembedahan dengan cara memasukkan alat melalui saluran air kencing dan batu karang dihancurkan melaluinya," ujar beliau.

Azhar turut menasihati masyarakat agar jangan takut menghadapi penyakit ini, sebaiknya jika ada yang mengalami simptom-simptom berkaitan, segeralah mendapatkan rawatan awal dan Hospital USM ada menyediakan segala kemudahan untuk tujuan ini.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

BANTUAN KECEMASAN PSIKOLOGI UNTUK GOLONGAN DEWASA

psy1

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2016 – Kesedaran tentang psikologi terhadap mangsa kejadian bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya amat perlu dibantu dengan cara yang betul terutama kepada sukarela yang mengambil bahagian dalam melaksanakan tugas bantuan.

Menurut Pensyarah dan Pakar Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sharifah Zubaidah Syed Jaapar, bantuan awal perlu kepada mangsa kejadian sebegini terutamanya pasukan penyelamat, kesihatan dan kumpulan psikiatri yang mampu berkomunikasi dengan cara yang betul dan dapat menyelami perasaan mangsa, memahami keperluan dan bantuan yang sepatutnya.

“Mangsa perlu difahami dengan cara yang profesional dan bijak untuk menyelami dan memahami perasaan dan kehendak mangsa serta mencari jalan penyelesaian dengan cara menghubungkan kepada pihak- pihak tertentu bagi mendapatkan bantuan.

“Golongan dewasa amat sensitif perasaannya, pelbagai teknik perlu dipelajari dan digunakan semasa kejadian agar tiada kesilapan komunikasi berlaku dan tiada hati yang terguris,” katanya semasa menyampaikan ceramah sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM, di sini.

psy2

Sharifah Zubaidah berkata, antara teknik-teknik berkomunikasi yang betul ialah bercakap dengan mangsa biar sama aras kedudukannya, mata bertentang mata, telinga mendengar dengan baik dan mengajukan pertanyaan dengan soalan yang mudah difahami dan mengunakan nada suara yang sederhana serta berperwatakan dan berkelakuan sopan.

“Memahami dengan sepenuh hati kehendak mangsa supaya dapat membantu serta memberi sokongan dengan sebaik mungkin dan tepat.

“Petugas juga diajar cara teknik penafasan bagi menenangkan mangsa dengan membawa mangsa ke tempat selamat dan selesa. Mangsa kemudiannya ditenangkan dengan cara meletakkan tangan kanan diatas dada dan tangan kiri dibahagian perut, memejamkan mata dan menarik nafas panjang-panjang serta menghembuskan perlahan-lahan,” ujarnya lagi.

Tambah Sharifah Zubaidah, semasa melakukan kaedah rawatan itu, mangsa diminta mengosongkan fikiran mereka serta membayangkan berada ditempat-tempat yang damai dan menyeronokkan seperti di tepi pantai, diatas pergunungan, mendengar deruan angin atau air terjun yang mengasyikkan.

“Para petugas digalakkan melakukan kaedah rawatan ini bersama-sama mangsa bagi memberi ketenangan dan kedamaian kerana lazimnya ianya dapat memberi perkembangan positif agar berfikir dengan baik untuk langkah seterusnya yang perlu diambil,” jelasnya.

Teks / Foto: Abdul Aziz Latif

Pautan Luar

MSC|My Govermment|HRMIS|Kementerian Pengajian Tinggi|Kelab Kemudi Kelantan

Pengiktirafan

iqnet isobod isolab sirim rakanbayi mesraibadah

Hubungi Kami

PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.


Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
prohusm(at)usm.my

Penafian

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

HUSM Cloud