Denggi

  • BACHOK, 26 Februari 2016 – Wabak demam denggi yang melanda negara dengan statistik yang bertambah membimbangkan pelbagai pihak yang perlukan perhatian dan penglibatan masyarakat untuk menghadapinya terutamanya menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat takungan air yang membolehkan aedes membiak kerana sehingga kini tiada vaksin yang berkesan untuk menangani denggi.

    denggi1

    Menurut Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Alwi Muhd Besari @ Hashim, sebanyak 300 kes kematian disebabkan oleh demam denggi  dicatatkan di seluruh Malaysia dan meningkat dengan banyaknya pada tahun 2015.

    “Pada tahun 2014, Kelantan telah mengalami satu fenomena wabak denggi yang  dahsyat dalam sejarah denggi. Pada masa itu, Hospital Kota Bharu terpaksa meminjam katil daripada angkatan tentera bagi menampung katil di wad yang tidak mencukupi untuk menampung pesakit demam denggi,” katanya ketika memberi ceramah kepada penduduk Kampung Pantai Senok, Bachok dalam Program Kajian Komuniti Kes Keluarga yang dianjurkan oleh Jabatan Perubatan Masyarakat, USM dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bachok pada hari ini.

    Menurut Alwi, pada tahun 2014 Kementerian Kesihatan telah meminta pihak Hospital USM sama-sama menangani wabak denggi dan telah membuka wad baharu khas dengan membuka dua wad dan salah satunya menjadi wad ICU denggi.

    “Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan. Demam denggi berpunca daripada nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti daripada orang yang terkena virus denggi dan membawa virus di dalam badannya.

    "Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini," jelasnya lagi.

    denggi2

    Demam denggi juga disebut sebagai "breakbone fever" atau "bonebreak fever" (demam sendi), ini kerana demam tersebut menyebabkan pesakit akan  mengalami sakit seakan-akan tulang mereka patah.

    Tanda-tanda seseorang yang mengalami demam denggi ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok pada kulit.

    Kemungkinannya terdapat gastrik dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-birit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa radang otot jantung.

    Menurut Alwi lagi, rawatan utama adalah terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan makan, terutamanya minum air. Sekiranya pesakit tidak mahu minum, tambahan melalui cecair intravena mungkin diperlukan untuk menghalang kekeringan teruk.

    Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya.

    Cara yang lain untuk mencegah penyakit ini ialah dengan  bersenam pada waktu pagi atau berjoging dan beriadah.

    Minum air adalah paling penting dalam hidupan harian kita. Minum air mineral sekurang-kurangnya 8 gelas sehari atau selebih-lebihnya pun hanya maksimum 16 gelas sehari.

    “Pada masa kini tidak terdapat vaksin siap untuk demam denggi. Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi.

    "Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu menghapuskan aedes dewasa dengan mudah,” katanya lagi.

    Teks / Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Isnin 04 November 2019.
Jumlah Pengunjung
692101