PELUPUSAN SISA PEPEJAL DOMESTIK YANG TIDAK TERKAWAL BERI KESAN NEGATIF KEPADA KESIHATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Disember 2018 – Melupuskan sisa pepejal dengan berkesan adalah cabaran global masa kini kerana pertambahan populasi penduduk dunia bermakna jumlah sisa pepejal yang akan dilupuskan juga meningkat.

Dr Hasmah Abdullah

Menurut Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Hasmah Abdullah, kaedah pelupusan sisa pepejal di Malaysia adalah secara terbuka sama ada dilupuskan di tapak pelupusan terbuka seperti ‘landfill’ atau dilupuskan di kawasan yang tidak digazetkan.

“Masyarakat kita pada masa kini masih mempunyai tabiat buruk dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya dan keadaan ini akan menyebabkan kehadiran makhluk perosak seperti tikus, lalat yang akan menjadi agen kepada penularan wabak penyakit seperti taun, cirit birit seterusnya mengakibatkan kesihatan manusia terjejas.

“Air limpahan daripada sampah sarap boleh mengalir ke dalam aliran sungai berdekatan, bau busuk menyelubungi kawasan persekitaran, udara tercemar akibat pembebasan gas toksik, berlaku pencemaran yang meresap ke dalam tanah dan banyak lagi impak negatif akibat pelupusan tak terkawal,” ujarnya semasa menjadi tetamu rancangan Sembang Sihat di Radio Kelantan FM, di sini.

Tambah Hasmah, kesan yang serius akan dihadapi oleh penduduk yang tinggal berdekatan tapak pelupusan di mana tindakbalas kimia akan menghasilkan pelepasan zarah toksik seperti logam berat dan bahan pencemar organik (POPs) ke udara.

“Mengikut kajian saintifik terdahulu membuktikan populasi penduduk yang tinggal berdekatan kawasan pelupusan sisa menghadapi masalah kesihatan seperti kanser, masalah berkaitan saluran penafasan dan ada juga yang mengalami masalah dengan hasil kelahiran.

“Selain itu, persekitaran juga akan menjadi tidak terurus dengan keadaan lanskap yang menyakitkan mata memandang, udara yang tidak nyaman dan keadaan ini perlu diubah segera agar ianya dapat dibendung sebelumnya menjadi semakin parah,” jelasnya lagi.

Hasmah berkata, kesedaran semua pihak perlu digalas bersama bagi menangani isu ini, ibubapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak tentang cara membuang sampah dengan betul iaitu dengan mengasingkan sisa buangan di mana sisa makanan tidak boleh dicampur dengan sisa pepejal yang lain.

“Sebagai contoh, masyarakat boleh mengamalkan kempen kitar semula dalam mengurangkan pembuangan sisa pepejal seperti bahan plastik, kaca, kertas, tayar dan sebagainya sekaligus mengurangkan pelepasan gas amonia serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat.

“Media masa juga boleh menjadi pengerak utama untuk kempen kesedaran menjaga kesihatan kepada komuniti dengan iklan pembuangan sisa pepejal dengan cara yang betul demi alam sekitar yang ceria dan sihat,” katanya.

Teks / Foto: Abdul Aziz Latif

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Isnin 04 November 2019.
Jumlah Pengunjung
692121