MAKMAL MIKROBIOLOGI DAN PARASITOLOGI USM DIPILIH JALANKAN UJIAN PENGESANAN COVID-19

Berikutan peningkatan kes COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi meningkatkan kapasiti ujian pengesanan COVID-19.  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama mengenalpasti dan memilih makmal diagnostik yang mempunyai kemampuan dalam menjalankan ujian di samping makmal-makmal sedia ada di bawah seliaan KKM.

Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai fasiliti setanding Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dipilih dalam kalangan sepuluh makmal kendalian universiti awam di Malaysia untuk menjalankan ujian pengesahan COVID-19.

IMG 20200408 203143

Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr Zakuan Zainy Deris menjelaskan, sebelum menerima arahan daripada KKM dan MOSTI, beliau diberi tanggungjawab dan tempoh dua minggu oleh Pengurusan Hospital untuk menyediakan prasarana secukupnya  bagi menjalankan ujian COVID-19.

“Kami memang menjangkakan Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi akan dipilih oleh kementerian berdasarkan kemampuan bukan sahaja dari segi peralatan yang digunakan malahan staf yang berpengalaman dan telah dilatih dalam mengendalikan kaedah ujian RT-PCR. Kaedah RT-PCR ini sudah digunakan untuk pengesanan kuman-kuman yang lain di makmal kami, dan kaedah ini turut diguna pakai untuk mengesan kuman COVID-19 iaitu SARS-CoV-2.

“Pada 26 Mac lalu, ujian COVID-19 yang pertama telah dijalankan dan sebanyak 15 sampel yang diterima daripada kaunter saringan Hospital USM berjaya diuji walaupun ianya awal seminggu dari tarikh asal yang diberikan kepada kami sebelum ini," katanya.

IMG 20200408 203200

Terdapat dua peringkat dalam ujian COVID-19 iaitu peringkat pertama ialah ‘extract’ nucleus asid pada virus dengan mengunakan kaedah manual atau mesin ‘Automatic Extracter’ dan peringkat yang kedua pula dikenali sebagai ‘Amplification’ dengan mengunakan mesin ABI 7500. Setakat ini, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi menggunakan sebuah mesin ABI 7500 yang menjalankan ujian ke atas 80 sampel dalam satu pusingan dan mampu membuat dua pusingan sehari manakala mesin BioRad digunakan sebagai persediaan sekiranya terdapat masalah dengan mesin ABI 7500.

Tambah Zakuan, sekiranya permintaan ujian melebihi had kapasiti, kes kecemasan akan diutamakan berbanding kes-kes lain. Ini adalah sebahagian daripada usaha USM untuk membantu KKM di samping terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang termasuk dalam bidang kajian dan pengurusan pesakit COVID-19.

IMG 20200408 203249

“Buat masa ini seramai 20 orang staf terdiri daripada Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Sains dan Pegawai Penyelidik mengendalikan ujian pengesanan COVID-19 dan kebanyakan mereka memang sudah berkemahiran dengan ujian RT-PCR. USM juga menitikberatkan aspek keselamatan yang tinggi. Oleh itu, sebahagian dari mereka telah dihantar mengikuti latihan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan Makmal Kesihatan Awam malahan jumlah petugas akan ditambah di masa akan datang bergantung kepada keperluan ujian," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Noor Asmaliza Abdullah yang sudah 17 tahun berkhidmat sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) menganggap tugas menjalankan ujian pengesanan COVID-19 agak mencabar sejak beliau bergelar JTMP.

Beliau yang pernah terlibat dalam melakukan ujian pengesanan wabak SARS, telah menjalani latihan di HRPZ II dan Makmal Kesihatan Awam di Perol, mengakui  setelah melihat aspek keselamatan yang ditekankan, beliau yakin dan bersemangat untuk mengendalikan ujian tersebut.

7a848f2f 8fcd 4c55 a56a 857471a86a19

Baginya, apa yang penting adalah untuk putuskan penularan wabak COVID-9 dan semestinya kerjasama semua rakyat Malaysia amat diperlukan.

Pastikan anda duduk di rumah dan biarkan para petugas barisan hadapan berjuang memberikan khidmat yang terbaik dalam usaha memutuskan penularan wabak ini dan sila patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

icon email1icon staficon sdppkt

Hubungi Kami

Hospital Universiti Sains Malaysia
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan
Jalan Raja Perempuan Zainab 2
16150 Kota Bharu Kelantan.
 

husmQR

Operator: 09-767 3000
No Fax: 09-767 1060
Emel : hospitalusm[at]usm[dot]my

Pautan Luar

MSCMy GovermmentHRMISKementerian Pengajian Tinggi

Hakcipta Terpelihara Hospital Universiti Sains Malaysia. ©2018
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox / Chrome dengan resolusi 1024 x 768 piksel.

  • Kemaskini: Rabu 05 Ogos 2020.
Jumlah Pengunjung
1475029